Masalah Melayu Yang Tidak Istimewa
Terlalu banyak perbincangan tentang hak Melayu akhir-akhir ini. Di sebelah pihak, orang bukan Melayu meminta kesamarataan. Di satu pihak lagi, orang Melayu mempertahankan sebab-sebab mengapa keistimewaan Melayu harus dipelihara dengan Dasar Ekonomi Baru (yang sudah tidak baru lagi).
Memang benar orang Melayu itu perlu diberi sedikit keistimewaannya supaya dia tidak terlalu kecil hati kehilangan sebahagian tanah asal nenek moyangnya (yang sudah berkali-kali dia hilangkan kepada hampir sesiapa pun yang inginkan menjajahnya). Benar juga orang Melayu itu perlu ada bantuan dari kerajaannya supaya dapat bersaing secara samarata dengan orang bukan Melayu yang sudah jauh maju (sedangkan mereka itu datang ke Tanah Melayu hanya sehelai sepinggang).
Begitupun, bantuan kepada orang Melayu itulah yang menjadi penghalang kemajuan Melayu itu sendiri. Di antara sebab-sebabnya Melayu itu susah maju adalah kerana dia:
- Tidak sedar dia akan ditolak jatuh dari dahannya. Akibat dari manifesto-manifesto palsu yang dimomokkan berpuluh-puluh tahun lamanya, kononnya kerajaan akan membantu, orang Melayu tidak sedar sebenarnya bantuan itu hanya untuk rakan-rakan rapat dan sanak saudara mereka yang berkuasa. Sudah tiba masanya Melayu sedar bahawa bila dia keluar dari sarang persekolahannya, dia itu umpama anak burung ditolak jatuh dari dahan oleh ibunya. Belajar sendiri terbang, atau jatuh mati.
- Berfikir orang yang ketinggalan itu tetap ada istimewanya. Ini perlu ditanam dalam jiwa setiap anak Melayu. Biarpun jika seluruh perlembagaan negara itu bercakap tidak lain dan tidak bukan hanya tentang keistimewaan Melayu di Malaysia ini, jika Melayu itu mundur, istimewanya hanya dari segi sebutan di dalam Perlembagaan. Sayangnya, persatuan yang kononnya memperjuangkan Melayu lebih tertumpu pada paksi sebutan bahawa Melayu itu diberi keistimewaan, bukannya bahawa Melayu itu semulajadi istimewa dan boleh berdiri sendiri jika dicabut tongkatnya.
- Lupa pada tunggak sebenar kejayaannya iaitu Islam. Tertegak empayar Melayu yang paling berjaya adalah setelah tibanya Islam di Nusantara. Walaupun empayar Melayu itu telah wujud sebelum itu, namun kedatangan Islam telah membentuk jatidiri yang tiada tolok bandingnya di jiwa sanubari orang Melayu. Islam telah mengajar Melayu bahawa tiada istimewanya sesama manusia melainkan taqwa. Islam telah mengajar Melayu tentang kejujuran berniaga biarpun tidak sekaya orang yang menipu kerana rezeki itu datang dari Allah.
- Tidak menuntut ilmu dari yang sepatutnya. Islam telah membentuk Melayu agar dahagakan ilmu biarpun sehingga belajar di negara China. Melayu itu beruntung kerana orang dari China sudah ada di sini. Tidak perlu belayar lagi. Tetapi dia sudah lupa bahawa kemakmuran empayar China itu bukanlah kerana tanahnya (yang banyak bergurun), atau lautnya (yang tidak sebanyak tanahnya), atau gunungnya (yang jauh dan tinggi), tetapi kerana orangnya dan budayanya.
- Lebih banyak alasan dari berjanji dan cuba mengisinya. Contoh yang paling ketara ialah dalam temuduga mencari kerja. Orang Melayu kadang-kadang merendah dirinya tidak bertempat. Jika belum berilmu di sesuatu bidang, bila ditanya, jawabnya "Tidak tahu kerana tidak belajar dahulu". Cuba tanya pada orang Cina (dan orang Melayu atau India yang berjaya juga). Jawabnya "Saya yakin boleh lakukan dengan baik kerana saya ini cepat belajar."
- Tidak tahan berkorban demi tugasnya. Setelah masuk kerja, orang bukan Melayu ini (dan juga Melayu yang berjaya) dengan pantas dipelajarinya selok belok tanpa perlu dibimbing, walaupun SPM dulu dia cuma gred tiga. Kalau belajar tidak pandai juga, dicarinya orang membantu. Kalau tiada, diupahnya. Kalau tiada juga, dibuatnya juga biarpun tidak berapa elok. Tidak tidur malam pun tidak mengapa. Wang gaji habis mengupah orang lain mengajar pun tidak mengapa. Apa saja asalkan selesai tugasnya. Kalau tidak elok pun, usahanya itu dihargai dan diberi peluang berjaya. Bagaimana pula orang yang lemah? Dihantarnya surat perletakan jawatan apabila terasa berat kerana tidak cukup tidurnya, atau terlalu jauh tempat kerjanya, atau tiada masa solatnya (sedangkan ada rukhsah diberi Tuhannya).
Tetapi, sebab paling besar ialah orang Melayu itu sudah lupa bahawa rezekinya itu ditentukan Allah, bukan persatuan kebangsaan Melayunya. Jika orang Melayu benar-benar faham konsep rezeki, qada dan qadar, dan juga ketakwaan dan keyakinan kepada Allah, dia tidak akan khuatir tentang hak istimewanya. Dia tidak akan gusar siapakah akan memberi kontrak padanya. Dia akan sedar bahawa untuk berjaya dia perlu usaha dan takwa. Dia akan berhenti meminta dan akan berkorban demi masa depan diri dan keturunannya. Mengapa perlu dia berharap kerajaan mengutamakan dirinya untuk kontrak kerana dia Melayu? Apakah kerajaan itu lebih berkuasa dari Allah yang akan mengutamakan dirinya kerana dia itu Muslim?
Melayu itu lebih berharap pada persatuan kebangsaannya dari Allah. Melayu itu lebih berharap bantuan rajanya dari usaha cekal, ilmu, dan takwa.
Lihat saja Melayu yang berjaya. Kebanyakannya susah dahulu dan dilupakan ketika kerajaan memberi bantuan. Bantuan pun sekadar sampai tamat persekolahannya. Di universiti pun belajar dengan pinjaman akhirnya dibayar juga. Bila mencari kerja, tidak pernah minta bantuan sesiapa melainkan pejabat pos (hantar surat permohonan kerja) dan syarikat telekomunikasi (hendak menghantar emel dan membuat panggilan bertanya jawatan). Mungkin juga minta pinjaman sedikit dari ibubapa untuk buat tambang ke temuduga.
Dan sudah tentulah minta bantuan Tuhannya, empat puluh malam bersolat hajat penuh ikhlas. Bukan empat puluh hari belanja rakan yang tebal dan panjang kabelnya. Melayu yang berjaya itu sedar Allah itu lebih panjang dan lebih tebal kabelNya.
Kerja yang gajinya kecil pun diambil tidak terlalu memilih kerana baginya itulah pilihan Allah untuknya. Juga dia tidak iri hati kekayaan orang bukan Melayu.
Melayu yang sebenarnya berjaya tidak berharap dia mendapat layanan istimewa. Tetapi dia buktikan Melayu itu istimewa biarpun tidak ada perlembagaan yang menyebutnya. Kerana istimewa seseorang itu bukan kerana Melayunya, tetapi kerana takwanya.
Acapkali kita mentafsirkan keadilan (bukan merujuk kepada parti) sebagai kesamarataan. Keadilan, baik merujuk kepada ekonomi mahupun sosial, tidak boleh dicapai melalui kesamarataan kerana setiap pihak (baca: kaum) mempunyai masalah dan keperluan yang berbeza dan pelbagai.
Konsep keadilan dalam Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan ia berlaku di dunia dan juga akhirat kelak; sesuatu yang tidak dipertimbangkan dalam konsep dan pelaksanaan konvensional.
Tidak istimewanya Melayu kerana melupakan (baca: menyanggah?) keadilan menurut konsep Islam; mungkin sehingga melupakan asas tawhid yang berpaksikan syahadah. Kalimah suci tersebut tidak hanya slogan mainan retorika, bahkan perlu dizahirkan melalui perbuatan dan amalan. Tidakkah cukup Allah itu sebagai pendamping?
Terima kasih atas analisa Tuan. Wallahu a’lam.